Sunday 22 May 2011

Bicara Kundur: Harga Naik, Naik Darah


Kundur meletakkan kayu hutan yang dicarinya di bangsal. Mengesat keringat yang menitis. Dia mendudukkan diri, mengenang nasib diri yang semakin sempit.
“Aduhai, tak kerja, kebulur. Harga minyak pun naik. Monyet sungguh.”
“Kenapa panggil spesisku?” Otoro bertanya, sedari tadi melihat Kundur mengeluh bersendirian.
“Mana aku tak mengeluh. Pagi buta dah bangun cari kayu hutan, selepas ini ke pekan nak jual semua kayu itu. Penat. Terpaksa pula gandakan kerja, nak tampung diri sendiri, harga barang naik. Sebab itu aku kata monyet,” kata Kundur panjang lebar sambil membetulkan posisi duduknya, menyandar ke tiang bangsal.
“Kenapa monyet? Apa salah aku?” Otoro bertanya, minta penjelasan.
“Engkau hendak tahu? Mari aku ceritakan.” Balas Kundur. Otoro turun dan duduk berhadapan dengan Kundur.
“Pada masa dahulu, tersebut satu kisah suku kaum monyet hidup aman dan damai dalam sebuah kampung. Kampung Kera namanya, yang terletak di sebuah pulau yang dinamakan Pulau Babun. Mereka hidup harmoni, tak ada masalah ekonomi, sebab tempat mereka menjadi pengeluar pisang terbesar di rantau itu.” Kundur berhenti sejenak, menyucuh rokok gulung.
“Tahu tak, sebab apa zaman itu, suku kaum engkau hidup aman?” Tanya Kundur.
“Tak tahu,” balas Otoro, pendek.
“Sejarah sendiri pun tak tahu,” kata Kundur sambil menghembus asap rokoknya. “Sebab masa itu, pemimpin monyet berkaliber, adil dan bertimbang rasa. Nama dia Umbuk Kera. Masyarakat monyet masa itu hidup tanpa ada tekanan, sebab harga pisang murah, dan dan pula mereka pengeluar pisang terbesar. Anak pinak Umbuk Kera tak ambil sedikit pun khazanah pisang. Kroni-kroni Umbuk Kera pun tak berani, kalau didapati, kena cepuk dengan tongkat sakti.” Sambung Kundur.
Otoro menganguk-angguk.
“Tapi, beberapa tahun selepas itu, masyarakat monyet berubah angin. Dalam pemilihan pemimpin, mereka tukar kepada pemimpin seteru Umbuk Kera.”
“Masa itu, ada pilihan raya?” Otoro mencelah.
“Tak ada. Mereka tak amal demokrasi. Umbuk Kera kata, demokrasi selalu tempang. Kerajaan sebelumnya amal demokrasi, tapi demokrasi tahi. Sendiri buat undang-undang, sendiri langgar. Jadi, Umbuk Kera hapuskan sistem demokrasi. Dia gantikan sistem monyet. Kalau sokong, semua sepakat menjerit nyet-nyet Umbuk Kera,” terang Kundur, menjawab pertanyaan Otoro.
“Nak dengar lagi tak?” Kundur bertanya, setelah melihat Otoro menggosok-gosok matanya.
“Nak, nak. Mata masuk habuk,” balas Otoro.
“OK. Jadi, Umbuk Kera turun takhta. Ungka Botok naik takhta. Masyarakat monyet masa itu, tertarik dengan manifestonya. Monyet dahulu, kerja utama. Tetapi...” Kundur berhenti, menyucuh rokok gulung kedua.
Otoro menunggu butir bicara seterusnya.
“Lepas seminggu, baru kaum monyet tersedar. Sebab sebelum ini, mereka buta dengan tawaran-tawaran kebajikan Ungka Botok. Harga pisang naik mendadak. Selang beberapa bulan, harga pisang semakin naik walaupun mereka pengeluar terbesar pisang. Selidik punya selidik, baharulah mereka tahu. Rupa-rupanya khazanah dilahap secara rakus oleh suku-sakat Ungka Botok, termasuk kroni-kroni di luar kaum monyet iaitu Khazara Hutan, Tapira dan Tenuki.
“Lepas itu, apa jadi? Memberontak?” Duga Otoro.
“Tak. Mereka redha. Mereka suka harga pisang naik. Sebab itu kerajaan Ungka Botok bertahan ratusan lamanya. Tambahan pula, Ungka Botok menghapuskan sistem monyet, gantikan dengan demokrasi ala tempang. Mereka undi guna pangkah daun. Orang-orang kanan yang terdiri daripada Babun, Chimpanzi dan Orang Utan akan pastikan, pangkah daun memihak Ungka Botok.” Terang Kundur.
“Lepas itu?”
“Lepas itu, mereka hidup dalam tertekan. Macam aku sekarang. Harga minyak naik, barang naik. Apa yang aku rasa sekarang, sama seperti yang dirasai oleh masyarakat monyet dahulu. Sebab itu aku kata, monyet sungguh.” Kata Kundur menghabiskan sedutan terakhir rokoknya.
“Tetapi, kenapa spesisku?” Tanya Otoro, berbalik kepada persoalan asalnya.
“Aku rasa lah, aku nak salahkan masyarakat monyet engkau yang bodoh dulu, aku juga ikut susah macam sekarang. Pilih lagi pemimpin monyet macam Ungka Botok,” jawab Kundur sambil ketawa berdekah-dekah, pecah perut.
Otoro hanya menggaru kepala.

Saturday 7 May 2011

Bapaku adalah Bapaku



Loceng rehat berbunyi. Setelah para pelajar mengucapkan ucapan terima kasih kepada guru, mereka berpusu-pusu keluar untuk menikmati juadah semasa rehat. Tidak bagi Yusuf. Sebagai pelajar baru, dia masih tidak punya teman untuk mengajaknya berehat di kantin.
“Nama siapa?” Kata Hafiz, orangnya berkaca mata yang duduk berhadapan dengan Yusuf.
“Panggil saya, Yusuf.” Balas Yusuf ringkas sambil menghulurkan tangan sebagai tanda salam perkenalan.
“Ucop. Ucop Wilcha. Ha..Ha.” Kata Udin, yang terkenal dengan kenakalannya. Yusuf hanya tersenyum. Tidak mengambil pusing sangat.
“Apa ni Udin, tak baik tau.” Kata Hakam.
“Tenang sahajalah. Gurau saja pun. Ucop Wilcha, ayah engkau kerja dekat mana?” Balas Udin sambil tersenyum.
 “Dia kerja dekat UKM.” Ringkas sahaja jawapan Yusuf.
“Wah, UKM!. Pensyarah? Ayah engkau sebagai apa? Pangkat Doktor ke? Professor Madya ke? Atau lebih tinggi Professor?” Tanya Udin bertalu-talu menunjukkan minat yang mendalam.
“Tak. Dia...”
 “Macam bapa aku, dia Professor dekat UIA. Mungkin bapa engkau dengan bapa aku kenal dekat mana-mana seminar ke? Biasanya kalau pangkat Professor banyak perjumpaan. Tambah-tambah lagi kalau bapa engkau ahli komiti Majlis Profesor Negara. Bapa engkau ajar bidang apa?” Laju Udin memintas sebelum Yusuf berkata-kata. Menunjukkan Udin begitu berminat dengan topik yang sedang dibicarakan.
“Bapa saya tak ajar apa-apa bidang. Dia seorang jaga,” kata Yusuf, tidak memandang wajah Udin.
“Pak guard?” Udin bertanya ringkas. “Oh, aku ingat bapa engkau Professor atau mungkin jurutera berpangkat Insenior. Rupanya jaga,” kata Udin sambil tersenyum. Udin meminta diri untuk keluar berehat.
“Yusuf. Jangan ambil hati sangat. Udin memang macam itu. Main cakap lepas,” kata Hafiz menenangkan Yusuf yang mungkin terasa hati dengan kata-kata Udin.
“Mungkin lain kali, awak kena tipu-tipu sikit dengan Udin. Ikut rentak dia,” nasihat Hakam yang sudah lama mengenali Udin.
“Tidak mengapa. Saya tidak ambil hati. Saya juga tidak malu. Bapa saya bukan seorang penjenayah, kenapa saya harus malu dan perlu menipu? Bapa saya cari nafkah siang malam. Kalau bapa saya tiada, saya mungkin tidak bersekolah.” Balas Yusuf sambil tersenyum.
Rakan-rakan barunya tersenyum. “Ayuh, kita pergi makan.” Ajak Hafiz. Mereka semua keluar untuk menikmati rehat yang berbaki 15 minit.
TAMAT

Tuesday 26 April 2011

Maghfirah



Maghfirah
oleh Tukang Kayu


“Malam ini, apa program?” Seorang lelaki bertanya kepada Suriadi sambil menyucuh puntung rokok Marlboro. Lelaki itu adalah rakannya, Aryan yang mempunyai darah keturunan Indonesia. Suriadi tidak segera membalas pertanyaan Aryan. Sebaliknya dia meneguk minuman Cola yang tersedia di atas mejanya.
“Adi, malam ini tak ada program ke? Aku tengah bosan ni.” Aryan mengulangi pertanyaannya. Aryan menarik salah satu kerusi cafe dan duduk berhadapan dengan Suriadi. “Tak ada rasanya. Kawan-kawan kita semua pergi bersuka-ria di Singapura. Tinggal kita dua orang sahaja. Nak melepak di tempat biasa pun tak ada mood,” balas Suriadi sambil menuangkan minuman Cola ke dalam gelas kosong. “Minum?” Suriadi menawarkan kepada Aryan. Aryan mengangguk sambil asap rokok berkepul-kepul dihembus keluar.
“Kita pergi enjoy di pusat karaoke bandar baru mahu tak? Sekarang baru jam 1.30 pagi. Karoke itu tutup jam 4.” Cadang Suriadi. “Daripada duduk kat kafe ini, baik kita keringkan tekak dengan memekak,” tambah Suriadi sambil ketawa. Aryan bersetuju sambil mengikut tawa Suriadi. Kedua-dua mereka bergerak menuju ke parkir yang menempatkan motorsikal mereka. “Adi, siapa sampai dahulu, dia adalah juara. Jarak nak ke sana lebih kurang 20 kilometer. Boleh jadi track.” Deruman motorsikal Suriadi memecah kesunyian pagi itu seolah-olah menjawab cabaran Aryan. “No hal. Kau kena tahu, motor aku lagi advanced daripada kau,” balas Suriadi sambil memutar minyak menambahkan lagi cabaran kepada Aryan. Aryan bersiap sedia untuk mencabar Suriadi.
Kedua-dua mereka berlepas serentak. Deruman enjin yang membingitkan memecah kesunyian pagi itu. Aryan berada di hadapan di suatu ketika dan kadang kala bertukar kedudukan dengan Suriadi untuk berada di tempat pertama. Dalam jarak kurang dari 10 kilometer, Aryan menambah kelajuan sehingga melebihi had yang dibenarkan. Seakan-akan Aryan memenangi perlumbaan itu, Aryan memberi isyarat selamat jalan kepada Suriadi sebelum sebuah kereta secara tiba-tiba keluar dari simpang dan memasuki laluan Aryan menyebabkan Aryan terpaksa menekan brek kecemasan dan mengelak kereta tersebut. “Hoi!” Aryan menjerit kepada pemandu kereta tersebut sebelum memecut untuk mengejar Suriadi yang berada di hadapan setelah peluang memotong Aryan terbuka luas sebentar tadi. Aryan memecut ke kelajuan maksima. Dari cermin sisi motorsikal, Suriadi dapat melihat Aryan datang dari arah belakang dengan kelajuan yang tidak dijangka. Suriadi kembali memandang ke hadapan untuk memfokuskan kepada perlumbaan. Belum pun sempat Suriadi memulas minyak untuk memecut, Suriadi menekan brek kecemasan apabila melihat sebuah lori kontena membelok ke satu persimpangan. Suriadi sempat memberhentikan motorsikalnya daripada melanggar lori kontena tersebut. Dari arah belakang, Suriadi terdengar deruman enjin Aryan memecut laju, seolah-olah Aryan tidak perasan keberadaan lori kontena tersebut.
“Aryan! Brek! Brek!” Suriadi menjerit ke arah Aryan yang semakin menghampirinya sambil memberikan isyarat tangan agar memperlahankan motornya. Belumpun sempat Aryan menekan brek, Aryan bertembung dengan lori kontena itu. Momentum perlanggaran yang kuat menyebabkan Aryan terperosok di sisi lori kontena tersebut. Motorsikalnya remuk teruk. Topi keledar dilihat hancur dan darah membasahi jalan raya. Aryan menggeletik bagai ayam disembelih.
“Aryan!!!”
Bagaikan satu kejutan elektrik, Suriadi tersedar dari tidur dan terduduk di atas katilnya. Nafasnya tercungap-cungap. “Mimpi itu lagi.” Bisik Suriadi. Suriadi mencapai jam tangannya. Jam menunjukkan 8.30 pagi. Subuh telah berlalu. Janji seorang hamba kepada Tuhan dimungkiri tetapi ia tidak menghadirkan perasaan bersalah kepada Suriadi. Seorang wanita masih tidur di sisi Suriadi sungguhpun Suriadi masih belum berkahwin.  Suriadi mencapai tualanya untuk membersihkan diri. Usai bersiap, Suriadi keluar dari tempat penginapannya meninggalkan tempat tersebut.
Suriadi memakirkan motosikalnya di hadapan sebuah restoran. Suriadi memesan sarapan, sepinggan nasi goreng dan teh ais. Sambil menunggu pesanannya tiba, Suriadi memeriksa dompetnya. Hanya tinggal 3 keping not merah. Wang daripada hasil perlumbaan 3 hari lepas semakin susut. “Malam ni kena race. Kalau tak, kebulur aku dalam minggu ni,” bisik Suriadi sendirian. Suriadi mencapai sebuah akhbar di atas meja sebelah. “Maut di Jalanan”, satu tajuk yang menarik minat Suriadi. “Kau tak professional, sebab tu kau mati,” kata Suriadi sambil tersenyum membaca kisah Mat Rempit yang maut digilis sebuah bas ketika cuba memotong. Nama Aryan terlintas dalam fikirannya. “Ah, Aryan yang tidak berhati-hati!” Bisik Suriadi. Sarapannya tiba.
Ketika menjamu selera, seorang lelaki lewat 30-an menyapanya. “Boleh, silalah duduk,” kata Suriadi mempersilakan setelah lelaki itu meminta izin untuk duduk semeja dengan Suriadi. “Jangan minta aku belanja kau makan sudahlah.” Bisik hati Suriadi. Lelaki itu memesan sarapan dan kemudian mencapai akhbar yang dibaca Suriadi.
“Ish, ish... maut digilis bas,” lelaki itu berkata bersendirian. “Adik dah baca?” Tanya lelaki itu.
“Tak perlulah beradik-adik dengan saya. Panggil sahaja Adi. Ya. Saya dah baca. Silap Mat Rempit itu juga, tak pandai,” balas Suriadi bersahaja.
Lelaki itu tersenyum manis. “Maaf. Saya Rosyam.”
Suriadi hanya melemparkan senyuman. Kelihatan tidak berminat untuk meladeni lelaki berkaca mata dan berjanggut sejemput itu.
“Pelik ya perangai Mat Rempit ni. Ada yang accident dua tiga kali pun masih berlumba. Tak pernah serik. Contoh yang mati ni. Kawan dia kata sebelum ni arwah pernah accident patah kaki. Tapi berlumba balik. Bila dah mati, tak boleh buat apa dah,” kata Rosyam panjang lebar sambil matanya fokus kepada akhbar yang dibacanya. Sesekali Rosyam memandang Suriadi, mungkin untuk mengajaknya berbual.
“Tak apalah. Mat Rempit yang mati dianggap legend oleh kawan-kawan dia. Tambah-tambah lagi kalau dia jaguh. Tak rugi apa-apa. Lagipun, berlumba ni bagi sesetengah mat rempit adalah kepuasan diri. Simbol kekuatan dan kehebatan,” balas Suriadi bangga, merujuk kepada dirinya sendiri. Bagi Suriadi, perlumbaan adalah satu kepuasan. Hebat dipandang dan disanjung orang.
Lelaki itu tersenyum lagi. “Kepuasan macam mana tu Adi? Macam berpengalaman saja.” Soal Rosyam.
“Oh, tidak. Kawan saya ada yang jenis merempit. Saya pun tahu daripada mereka. Contohnya kepuasan wang ringgit. Menang dapat wang. Bila hebat, semua pandang tinggi. Semakin hebat, semakin berpengaruh,” jawab Suriadi berselindung. Khuatir jika lelaki itu punya kaitan dengan polis. “Dan teman wanita pun ramai,” tambah Suriadi ketawa kecil, nada bergurau.
Lelaki itu turut ketawa. “Kepuasan sementara, Adi. Kalau dah mati, ada kepuasan lagi? Terseksa mungkin adalah. Beginilah bila kita terlalu cintakan dunia. Bijak pandai berkata penyakit wahn. Penyakit cinta dunia. Semua jadi gelap mata.” Syarah Rosyam.
“Eh, orang ni. Nak bersyarah depan aku pula,” kata Suriadi dalam hati, menjengkelkan.
“Sebab dunia sementaralah kita kena puaskan hati. Bila dah mati, nak puas macam mana lagi kan. Dah mati dah tak boleh tunjuk hebat,” balas Suriadi tidak berpuas hati.
Lelaki itu tersenyum lagi. “Katakan Adi seorang jaguh mat rempit, dikelilingi wanita cantik dan limpahan wang ringgit, adakah Adi berasa puas?” Soal Rosyam sambil membelek helaian akhbar tanpa memfokuskan kepada Suriadi supaya perbualan antara mereka berbentuk santai.
“Tak perlu katakan. Aku memang mat rempit,” kata Suriadai dalam hati. “Oh, pastilah saya berasa puas. Terutamanya wang. Sebab wang ni penting. Tanpa wang tak boleh hidup,” balas Suriadi.
“Kalau Adi mati dalam perlumbaan, masih dapat wang tak?”Soal Rosyam menguji.
Suriadi tidak terus menjawab.Sesekali dia memandang ke kiri dan ke kanan. Mencari idea. “Tentulah tak dapat. Tapi nama kita akan disebut-sebut. Alah, macam pepatah manusia bila mati tinggal nama tu,” kata Suriadi sambil menyedut teh aisnya.
“Adi. Apalah nama kepuasan jika kita hanya mengecapi sementara sahaja. Sungguhpun kata Adi nama disebut-sebut bila meninggal, tapi masyarakat yang hidup akan berkata-kata negatif terutama kepada keluarga Adi. Yang menyebut nama Adi hanyalah dalam kalangan rakan-rakan Adi sahaja yang mungkin tak sampai 5 peratus berbanding masyarakat lain,” balas Rosyam panjang lebar. Senyuman tidak pernah ditinggalkan.
“Eh orang ni. Dah melampau. Sibuk pula dia. Kau bukan tahu apa-apa tentang dunia rempit. Kau bukan tahu sanjungan kepada seorang jaguh,” Suriadi meluahkan dalam hatinya. Tidak senang dengan tindakan Rosyam.
“Bila kita cintakan dunia. Sebenarnya kita telah ditipu dengan dunia. Jika kita terlalu asyik dengan kemewahan duniawi, kita akan lupa semuanya, termasuk kematian yang mendatang. Orang berpenyakit cinta dunia ni biasanya sangat takut mati,” Rosyam berhenti seketika memberi laluan kepada pelayan restoran meletakkan sarapannya. “Sebab bila mati, dia rasa akan hilang kepuasan. Sebab itulah orang sebegini cuba untuk mengecapi kepuasan dunia semaksima mungkin sebelum ajal datang bertamu,” sambung Rosyam sambil menyuapkan sarapannya.
“Tapi, mat rempit tak takut mati. Sebab tu aksi mereka semakin hebat walaupun berisiko,” respon Suriadi sambil tangannya menaip mesej telefon bimbitnya. Suriadi semakin tidak senang dengan syarahan Rosyam. “Benci betul. Kalaulah aku ada peluang, nak saja aku langgar dengan motor aku.”
“Itu satu lagi saya pelik dengan Mat Rempit. Tak takut mati pula. Mungkin mereka merasakan mati itu satu kepuasan,” kata Rosyam diselangi ketawa kecil.
Tawa Rosyam tidak disambut Suriadi. Suriadi tidak senang dengan kata-kata Rosyam terhadap orang rempit sepertinya. “Kau tak tahu apa-apa!” Kata-kata Rosyam ibarat tembakan tepat kepadanya. Bagi Suriadi, kehidupannya, biarlah dia sendiri yang menguruskannya.
Telefon bimbit berbunyi. Mesej telah memasuki kotak masuk. “Boleh. Bertemu dekat starting point Bandar Putra Permai.” Demikian mesej itu tertera.
“Terima kasihlah sebab sudi beri syarahan. Sebenarnya saya hendak dengar lagi, kalau boleh sampai malam. Tapi saya kena pergi sekarang.” Kata Suriadi, perli. Dia berlalu pergi setelah membuat bayaran di kaunter restoran. Sebelum berlalu pergi, Suriadi memandang Rosyam. Rosyam mengangkat tangan sambil tersenyum. Suriadi hanya berlalu pergi tanpa memberi respon. “Cinta dunia, penyakit cinta dunia. Engkau sajalah Rosyam! Tak ada kena mengena dengan aku!” Jerit Suriadi di sebalik helmetnya. Dia memecut pantas dengan deruman enjin yang membingitkan.
Jam menunjukkan 10 malam. “Dengar semua, perlumbaan kali ini berjumlah RM 1000. Track sepanjang 30 kilometer. Aku saja set pukul 10 malam, sebab time macam ni banyak kereta. So, itu cabaran bagi kamu. Sebab tu ganjaran pun mahal. Baik.  Starting point kat sini, Bandar Putra Permai, melalui Saujana Puchong, Bukit Kiambang, Kota Lama dan kembali ke sini. Informer kita kata malam ini tidak ada operasi. 5 check point sepanjang track, setiap check point ada 3 orang yang akan cover line jika ada hal yang di luar jangkaan. Baik. Suriadi, Komeng, Putra, kalau dah sedia, stanby kat garis permulaan,” lantang suara Bruno memberi arahan yang bertindak sebagai pengurus perlumbaan. “Bos, ada permintaan. Kalau aku menang, aku mahu si gadis ini,” kata Suriadi sambil melirikkan senyuman kepada seorang gadis berambut ikal. “Boleh, tak ada masalah. Tapi layan dia sepatutnya,” Bruno membalas kata Suriadi.
Deruman enjin pelumba membingitkan telinga. Kawasaki milik Suriadi garang mengaum. Begitu juga dua pesaingnya, masing-masing menunjukkan kemampuan motosikal mereka.
“Tiga! Dua! Satu! Go!!!” Perlumbaan dilepaskan.
Suriadi memecut pada awal perlumbaan untuk merampas kedudukan tempat pertama. Kedudukan pertama di awal perlumbaan adalah penting bagi Suriadi, kerana teknik itulah yang sering menjadikannya seorang jaguh perlumbaan. Melalui cermin sisi, Suriadi melihat pesaingnya berada 3 meter di belakang. Komeng cuba untuk memotong segera dihalang oleh Suriadi. “Kau takkan dapat potong aku,” kata Suriadi dalam hati. Sepanjang 20 kilometer pertama, Suriadi mengusai perlumbaan. Suriadi cekap menyelit badan-badan kereta di hadapannya. Sesekali kereta membunyikan hon kepada Suriadi kerana tindakannya menyelit antara kereta menimbulkan kemarahan pengguna jalan raya yang lain.
Putra menggunakan laluan sebelah kiri jalan, untuk memotong Suriadi sungguhpun laluan sebelah kiri berisiko tinggi kerana sempit dan ada kemungkinan untuk tersangkut di badan kenderaan terutamanya lori. Namun, strategi berkenaan ada kalanya menjadi.
Suriadi tersenyum sinis. “Aku tahu kau akan guna lorong sebelah. Kau tak tahu siapa aku.”
Suriadi memerhatikan laluan bertentangan. Trafik lancar. Tidak banyak kenderaan. Lantas, Suriadi menukar arah laluan dan memasuki laluan bertentangan. Suriadi memecut laju dan adakalanya mengelak kereta yang bergerak bertentangan dengan Suriadi. Hon panjang dan kuat daripada kenderaan lain tidak sedikitpun menggentarkan Suriadi. Lagak seorang jagoan.
Suriadi memandang cermin sisi. Putra dan Komeng masih kelihatan. Mungkin dalam jarak 5 meter. “Boleh tahan juga dua orang ni. Tapi tak cukup untuk mengalahkan aku!” Kata Suriadi sambil ketawa, menambahkan keyakinan untuk memenangi perlumbaan. “Tunggu aku wahai RM 1000 dan gadis cantik! Rosyam, Rosyam. Inilah dinamakan kepuasan!” tambah Suriadi dengan ketawa yang lebih girang. “Ha...Ha.. Cinta dunia.”
Perlumbaan semakin hampir ke garisan penamat. Hanya tinggal satu selekoh sahaja, RM 1000 dan gadis cantik menjadi milik Suriadi. “Kali ni aku hendak kamu tahu, siapa aku. Akulah jaguh!” Jerit Suriadi kepada pesaingnya sungguhpun mereka tidak mendengarnya. Suriadi mengambil ruang lebih sedikit untuk membuat satu sharp bend  atau konar baring seperti gaya Valentino Rossi.
Suriadi bersedia. Setelah menjangkakan sudut dan jarak yang sesuai. Suriadi membuat satu konar baring. Tiba-tiba...
“Syukurlah. Adi. Kamu dah sedar. Alhamdulillah”
Suriadi masih dalam keadaan bingung. “Aku pernah dengar suara itu. Seperti suara... Rosyam! Aku di mana? Bukankah aku dalam perlumbaan? Siapakah yang menang? Kenapa Rosyam ada di sini?” Segala persoalan menerjah kotak fikirannya. Suriadi cuba bergerak. Tapi terasa satu keperitan di bahagian dada dan kakinya.
“Jangan bergerak, Adi. Kamu sudah selamat. Kamu berehatlah.” Bagaikan dapat membaca fikiran Suriadi, Rosyam menjelaskan. “Adi, saya terjumpa kamu terbaring di tepi jalan raya. Berlumuran darah dan kamu tidak sedarkan diri. Motor kamu hancur. Terus terang saya katakan, pertama kali saya melihat keadaan kamu, sangat serius.”
Ya. Suriadi teringat sesuatu. Di satu selekoh, dia melakukan konar baring. Tapi dia tidak perasan jalan itu berpasir dan berbatu kerikil menyebabkan motornya hilang kawalan lalu terbabas merempuh besi pembahagi jalan yang memisahkan jalan dan gaung. Mujur sahaja, bilah besi itu tidak menusuk atau menghiris urat nyawanya. Kemudian, pandangannya gelap dan berpusing.
“Adi, kamu jatuh dari bukit dan terbaring di sisi jalan tempat saya menemui kamu. Tuhan telah menggerakkan saya untuk keluar pada malam itu. Sekiranya saya tidak bertemu kamu awal, saya tidak tahu apa terjadi pada kamu. Tuhan masih sayangkan kamu, Adi.”
Suriadi terdiam. Air matanya bergenang. Jauh di lubuk hati berputik satu benih penyesalan. Suriadi tidak dapat menahan air matanya bertakung di pelupuk mata. Air matanya gugur berjuraian membasahi pipi.
Rosyam hanya memandang. Terbit perasaan kesyukuran. Rosyam meletakkan satu pemain radio mini di sisi katil. Membuka frekuensi IKIM F.M sebagai pengisian kepada Suriadi. Rosyam berdiri di sisi katil.
“Ku harap rendang, pohon kasihMu... Jadi teduhan seksa azabMu. Dengan rahmatMu, taburkan keinsafan... Dengan ehsanMu, kurniakan keampunan. Pimpinlah daku menempuhi ranjau yang berduri.... Semoga tenang jiwa kami. Dengan maghfirah yang Maha Esa...” Dendangan nasyid menusuk kalbu Suriadi. Air mata Suriadi semakin laju mencurah.
“Maghfirah adalah keampunan, Suriadi, Cintailah Dia.” Kata Rosyam. “Dan dahulu, saya juga orang seperti kamu,” tambah Rosyam sebelum meninggalkan Suriadi.
TAMAT

Monday 25 April 2011

Isabella


Jam menunjukkan 2.30 pagi. Ramlan masih belum tidur, semata-mata untuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar keesokan harinya. Titisan terakhir air nescafe telah dihabiskan. Lagu Isabella nyanyian Search diulang dua tiga kali. Tidak tahu mengapa, lagu Isabella begitu sedap didengar pada pagi yang sunyi sepi itu.
“Isabella adalah, lambang cinta dua...dunia...” Ramlan turut sama bernyanyi mengikut alunan Search.
2.45 pagi. Ramlan bersandar pada kerusinya. Suasana semakin sunyi sepi. Jiran sebelah biliknya yang pada mulanya bising kini senyap. Ramlan memandang ke tingkap, hampir 90 peratus bilik-bilik lain bergelap. Semuanya sudah masuk tidur. Hanya tinggal dua atau tiga bilik sahaja masih cerah termasuk bilik perseorangan Ramlan sendiri. Lambaian pokok ara mengikut tarian bayu  di hadapan biliknya yang berada pada aras tingkat dua membuatkan Ramlan berasa sedikit seram. Ramlan berimaginasi, bagaimana agaknya jika ada kain putih berambut panjang mengurai dan mengerbang bertenggek di salah satu dahan pokok tersebut. Tidak! Dia tidak berani berimaginasi.
“Baik aku masuk tidur.” Getus Ramlan, yang mula berasa mengantuk. Sesekali dia menguap. Dia mencapai berus gigi dan pencuci muka untuk ke tandas yang terletak 10 meter ke belakang, tetapi masih di aras yang sama. Sepi. Jiran searas semuanya telah tidur.
“Ah, pekerja kolej ni tidak buat kerja kah? Dah buat laporan pun masih tak tukar lampu. Hantu betul,” ngomel Ramlan. Suasana dalam tandas itu kelam. Dua lampu di bahagian cermin tidak berfungsi. Yang hanya berfungsi hanyalah lampu di bilik mandi. Sesekali Ramlan berimaginasi. Bagaimana agaknya jika ada seseorang memerhati dibalik pintu bilik mandi? Bagaimana jika dia terdengar tarikan flush sedangkan dia berseorangan? Tidak!
“Isabella adalah... lambang cinta dua...dunia...” Ramlan menyanyi. Menyedapkan hatinya. Dia menggosok gigi seperti biasa dan tenang. Berpura-pura tenang pastinya.
“Mengapa kita berjumpa...namun akhirnya...berpisah...” Ramlan pelik. Dari mana datangnya suara itu? Dia perhatikan sekeliling, tiada orang melainkan dia. Meremang bulu roma Ramlan jangan dikata. Degupan jantung Ramlan mengalahkan atlit pelumba pecut.
“Mengapa kita berjumpa...namun akhirnya...berpisah...” bait lagu itu berulang.
Ramlan mencari-cari. Suara itu dekat sekali.
“Mengapa kita berjumpa...namun akhirnya..berpisahhhh...” bait itu berulang, tetapi kali ini garau.
Ramlan terpandang di bawah sinki tempatnya bercermin. Satu makhluk berbalut putih, berambut panjang dan berkerinting, berwajah pucat lesi tersenyum sehingga ke telinga. Seraya bau hanyir menusuk hidung Ramlan.
Ramlan tidak menunggu panjang. Langkah seribu dan menjerit memecah kesunyian malam bagai orang histeria.
TAMAT

Sunday 24 April 2011

Permulaan

Tangan engkau pantas menaip butir-butir aksara di atas papan kekunci laptop engkau. Engkau menaip dua tiga patah, kemudian engkau memadamnya kembali. Engkau kembali pusing. Tidak tahu apa lagi yang perlu ditaip.

"Aduhai..."

Sesekali engkau mengeluh. Engkau kembali mengadap wajah laptop engkau dan memerhatikan papan kekuncinya. Tangan engkau bersedia untuk menekan. Engkau memejamkan mata, berharap ilham itu datang. Jika tidak dimulakan, maka engkau tidak punya masa.

"Catatan Tukang Kayu! Pedulilah," engkau berkata sendirian sambil menekan aksara di atas papan kekunci. Sebaik sahaja engkau memasukkan Title, segera engkau memasukkan kod dan langsung engkau menekan ikon continue. Akhirnya. Engkau berjaya menubuhkan satu medium baru dalam kehidupan engkau.  Medium yang akan menceritakan tentang engkau dan orang lain, dalam bentuk yang engkau sukai. Catatan Tukang Kayu. Itulah nama engkau berikan kepada medium engkau. Engkau sendiri tertanya-tanya, mengapa dinamakan sedemikian rupa. Kenapa tidak meletakkan nama engkau. Engkau membalas bisikan diri engkau,

"Ianya adalah ilham. Aku sukakannya".